Tuesday, April 17, 2007

bagaimana?

jauh sebelum periksa, makcik noriah menghubungi saya. minta menulis untuk jendela hikmah. u. saya sudah lama tidak menulis! tapi saya terima, tidak mahu menghampakan.

sebetulnya saya diminta menulis tentang "Pembentukan Remaja Beradab", tapi kata makcik, boleh juga kalau mahu menulis tentang penghayatan sirah di kalangan remaja. alhamdulillah semalam, setelah bergolek mencari idea yang hilang, saya sempat send emel kepada makcik endok (time kasih mr pres, time kasih alak!)

saya tak pasti, saya rasa saya mampu tulis lebih baik. -_-

ambillah yang mana baik..

Bagaimana Akhirnya Saya Menghargai Sirah Rasulullah

Oleh: penulis

“Barangsiapa yang tidak mengetahui sejarahnya, dia tidak mengenal asal usulnya dan dia tidak menemui jati dirinya”. Penulis pernah mendengar kata-kata ini ketika penulis menghadiri slot ‘Islam di Nusantara’. Cukup menarik! Persoalannya kini, sampai ke garis mana sejarah kita? Adakah sejarah kita bermula sekadar dari kelahiran kita ke dunia? Tentu tidak. Kalau ya, tentu sungguh singkat sejarah kita untuk dikaitkan dengan erti jati diri yang sebenar.

Sejarah kita yang dimaksudkan dengan kata-kata tersebut tentu merangkumi sejarah dari awal kewujudan manusia. Mengapa? Kerana jati diri manusia yang tulen tidak dapat difahami melainkan dengan menghayati sebab kewujudan manusia di muka bumi ini. Justeru, penghayatan sejarah manusia yang diceritakan oleh Pencipta manusia adalah amat penting untuk melahirkan manusia yang mengenal jati dirinya.

Dalam rantaian sejarah kehidupan manusia yang panjang, ada satu persamaan sepanjang zaman. Keesaan kepada Allah. Ya. Itulah garis lurus, putih dan bersih yang menjadi penyambung perjuangan dari manusia pertama hingga kini. Di sepanjang garis itu pula, ada sebuah fasa yang cukup menyerlah dari fasa-fasa yang lain. Itulah fasa perjalanan hidup insan agung sepanjang zaman; Muhammad Rasulullah s.a.w.

Persoalannya, berapa jauh jarak remaja kita dengan sirah Rasulullah s.a.w? Apakah dekat rapat sehingga hampir berada di bawah bayangan sirah baginda atau jauh panggang dari api? Jawapan kepada persoalan ini bisa kita temui sendiri tatkala melihat realiti remaja masa kini.

Ironisnya, penulis tidak begitu meminati matapelajaran sejarah ketika di sekolah, tetapi kecintaan terhadap matapelajaran sejarah mula mekar setelah tamat sekolah apabila penulis menemui kaitan sejarah melayu dengan sirah Rasulullah s.a.w. Sirah dan sejarah, kedua-duanya akhirnya dicintai sepenuh hati. Bagaimana akhirnya penulis menghargai sirah dan seterusnya sejarah tanah air? Banyak wasilah yang boleh digunakan untuk mengajak para remaja menghayati dan menghargai sirah Rasulullah dalam kehidupan.

Pertama, remaja harus dididik agar memahami kepentingan sirah Rasulullah dalam kehidupan seharian mereka. Remaja hari ini cerdik dan pintar. Mereka mendapat pendedahan dan maklumat daripada pelbagai sumber. Maka, tidak cukup sekadar kita mengatakan, “Sirah ini penting kerana Rasulullah itu Rasul yang terakhir” atau “Sirah penting untuk dihayati kerana Allah mengatakan begitu”.

Kebenaran kata-kata tersebut memang jelas. Namun, mengapa remaja tidak diberikan sebab yang lebih dekat dengan hati mereka, lebih-lebih lagi bagi remaja yang tidak pernah berpeluang mempelajari sirah tersebut apatah lagi untuk mengaitkannya dengan tujuan sebenar hidup mereka.

Justeru, didiklah remaja agar memahami dengan hati apakah kaitan penghayatan sirah dengan kelangsungan hidup mereka terutamanya sebagai remaja? Apakah pula kepentingan mereka menghargai sirah demi menjayakan misi hakiki hidup ini? Ternyata, hanya keyakinan yang jelas terhadap kepentingan penghayatan sirah ini bisa menumbuhkan kecintaan dan usaha dari dalam diri mereka sendiri untuk terus mencari dan menghayati sirah agung sepanjang hayat mereka.

Kedua, cara dan gaya mendidik remaja menghayati sirah harus bersesuaian dengan jiwa mereka. Bukanlah perlu keanak-anakan, tetapi perlu menarik. Bukanlah perlu terlalu kedewasaan, tetapi perlu mematangkan remaja dan melatih mereka berfikir sebagai manusia yang bertanggungjawab memikul amanah yang telah Rasulullah tinggalkan kepada kita setelah kewafatan baginda.

Dewasa ini, berapa banyakkah permainan beruunsurkan pendidikan dalam pasaran (sama ada dalam bentuk video atau kad dan sebagainya) yang dihasilkan untuk mengajak remaja menghayati sirah? Berapa banyakkan komik dan filem animasi dalam pasaran yang menceritakan tentang kehebatan perjuangan dan perjalanan hidup Rasulullah daripada bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan sehinggalah beliau wafat?

Minda yang kreatif amat diperlukan demi menghasilkan produk-produk seperti ini yang menepati syara’, mudah diperolehi, dijual dengan harga yang berpatutan dan berkualiti. Malah, usaha penerbitan filem animasi seperti ‘Muhammad Utusan Terakhir’ perlu terus didokong dan disokong. Ternyata, usaha-usaha ini sebuah keperluan demi mengembalikan jati diri remaja yang unggul.

Ketiga, Rasulullah harus ditonjolkan sebagai tokoh di zaman remaja baginda. Bukankah baginda telah dilatih ketokohannya dalam bidang perniagaan profesional sejak berumur 12 tahun ketika baginda ke Syam bersama pakcik baginda, Abu Talib? Bukankah telah menyerlah ketokohan baginda sebagai ahli perniagaan remaja yang pintar membina strategi perniagaan berlandaskan nilai murni dan kejujuran?

Bukankah ketika zaman remaja, baginda dihormati oleh tua dan muda dan dikenali ketokohannya kerana akhlak baginda yang agung? Bukankah beliau tokoh remaja yang kehadirannya dinanti-nanti dan selalu menggembirakan? Bukankah beliau tokoh remaja yang kata-katanya dipercayai tua dan muda?

Selain Rasulullah sendiri, sirah juga telah menampilkan ramai tokoh remaja lain yang gemilang hasil didikan Rasulullah. Siapa yang tidak kenal ketokohan Tariq bin Ziyad, Abdullah bin Abu Bakr, Usamah bin Zaid, Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Zubair, Fatimah binti Muhammad, Aisyah binti Abu Bakr, Asma binti Abu Bakar, dan ramai lagi tokoh remaja yang menonjol kewibawaannya dalam masyarakat.

Keempat, perjalanan sirah akan lebih mengesani hati jika pengajarannya dihayati. Remaja akan berasa dekat dengan sirah apabila mereka ditunjukkan dengan pesanan-pesanan penting yang tersirat di sebalik fakta. Bukan hafalan tarikh atau nama yang terlalu ingin ditekankan sehingga menjadi ukuran kefahaman terhadap sirah, tetapi kesannya kepada jiwa. Remaja yang mendapati sirah bisa mengetuk jiwanya yang gersang, akan mampu melihat pola sejarah manusia yang berulang lantas mengambil pengajaran daripadanya agar bisa mencipta sejarah yang lebih gemilang atau mengelakkan daripada terjatuh ke lubang kesilapan yang sama.

Penulis yakin ada usaha-usaha mendekati remaja demi mengajak mereka menghayati sirah Rasulullah. Tetapi usaha tersebut belum menjalar dan melebar ke segenap masyarakat. Tanggungjawab siapakah ini? Inilah tanggungjawab kita yang perlu dipikul dan disedari bersama, demi kepentingan bersama. Siapa lagi kalau bukan kita? Bila lagi kalau bukan sekarang?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home