Saturday, March 18, 2006

Dari Kota Bharu ke Manhattan (2)

Assalamualaikum wr wb,
Bertemu lagi...
Perjalanan yang panjang dan memenatkan
Perjalanan ke Stockholm mengambil masa 12 jam, merentasi ruang angkasa Thailand, India, Bukhara, Samarkhand, Moscow sebelum ke destinasi pertama Stockholm. Aku telah membuat beberapa persediaan untuk perjalanan panjang ini bersama buku nota dan beberapa buku bacaan.Paling lama aku boleh terlena hanyalah beberapa jam sahaja. Aku menuliskan beberapa noktah misi perjalanan ini :
· Berperanan membawa suara wanita Islam ke peringkat antarabangsa
· Mengeratkan hubungan dan kerjasama dengan wanita khususnya wanita Islam antarabangsa
· Bertemu dengan pelajar Malaysia dan sampaikan risalah
· Bermusafir untuk melihat kebesaran Allah - ambil iktibar
· Berkongsi pengalaman bila kembali ( atas dasar inilah catatan ini dilakukan)
Sesekali fikiran ini melayang kepada detik-detik sebelum perjalanan ini. Laluan untuk sampai ke saat ini tidak mudah untuk aku dan keluarga. Banyak perkara yang harus diambil kira dalam membuat keputusan. Belanja yang mahal, wajarkah untuk organisasi? Meninggalkan keluarga dengan anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian intensif; adilkah untuk mereka? Meninggalkan klinik untuk tempoh yang lama, tiada aku maknanya pesakit yang datang juga akan turun dengan mendadak; bolehkah kami menanggung defisit ini? Dari awal aku telah mengusulkan agar dicari pengganti untuk menemankan Dr Har ke New York. Akhirnya aku bersyukur dengan bantuan Akhi Che Rahimi, suami penyayang yang sentiasa memberikan galakan , kami membuat keputusan untuk mengatasi segala cabaran yang ada dan akhirnya sampailah aku ke saat ini. (Inilah juga ciri-ciri yang aku dapati di kalangan semua suami akhawat 2 dari Mesir, 1 Jordan dan 1 Libyan yang tinggal di Ireland ) dalam kumpulan kami mewakili wanita islam di UN ini. Mereka adalah dari kaum lelaki yang begitu gender sensitif hasil dari pentarbiyahan syumul yang sanggup berkorban demi untuk dakwah ini.

Masa terus berlalu ; baca,tulis, tidur, makan, baca, makan dan akhirnya pada jam 10 malam ( 3 petang waktu tempatan) pesawat Boeing 747 MAS mendarat di Lapangan Terbang Alanda Stockholm yang putih diselimuti salji yang masih tebal. Kelihatan beberapa jentera berat pembersih salji dipinggir landasan. Juruterbang memaklumkan suhu diluar adalah - 5 C. Transit selama 1.5 jam kuhabiskan bersama seorang wanita India Mangalam berusia lebih separuh umur yang dalam perjalanan ke New Jersey mengunjungi keluarga abang iparnya yang telah menetap di Amerika selama lebih 30 tahun. Suami Mangalam telah meninggal dunia 2 bulan sebelum itu akibat Asthma dan komplikasi jantung. Beliau yang memiliki status permanent resident (green card) saban tahun mengunjungi US untuk mengaktifkan status penduduk tetapnya.

Tepat jam 4.30 petang waktu tempatan , kami berangkat menuju New York dalam perjalanan selama 6 jam . Hati begitu lega melihat Dr Harlina sudah sedia menunggu di lapangan terbang Newark, New Jersey. Brother Imam Shamsi Ali, warga Indonesia yang bertugas di Indonesian Mission dan juga Imam Masjid Islamic Centre New York sedia menjadi pemandu kami. Saki baki salji masih kelihatan di merata tempat. Sejuk terasa. Perjalanan ke Helmsley Middletown Hotel melalui jalan Broadway yang terkenal itu. "Culture Shock' aku melihat iklan yang terpampang ; inilah gambaran ekploitasi wanita dan lelaki diperingkat maksimum. Memang golongan ini memerlukan cahaya Islam untuk membebaskan mereka dari perhambaan meraka kepada nafsu dan diri mereka sendiri.

Pengalaman di United Nation akan menyusul.....

Wassalam

Dr Hafidzah
Manhattan 9/3/06

0 Comments:

Post a Comment

<< Home