Saturday, March 18, 2006

Dari Kota Bharu ke Manhattan (1)

ana kongsikan coretan Dr. hafidzah yg menyertai persidangan UN di Manhattan baru2 ni


Assalamualaikum wr wb,
Ikhwah dan Akhawat yang dikasihi sekalian,
Pesawat MAS yang dijadualkan berlepas jam 8.45 pagi 2 Mac 2006 ditunda perjalanannya. Juruterbang mengumumkan dengan tertib bahawa terdapat kerosakan tayar kapalterbang yang harus dibaiki. Tayar ganti sudah diperolehi dan kerja-kerja pembaikan sedang berlangsung. Mereka juga sedang menunggu kedatangan 'co-pilot' gantian yang akan mengambil masa 1 jam untuk sampai. "Co-pilot yang dijadualkan bertugas tidak dapat hadir pada pagi tersebut. Lega dan puas hati dengan penjelasan, lebih 200 penumpang pesawat Boeing 747 menunggu dengan tenang dan penuh sabar di perut kapalterbang. Masing-masing melayan fikiran masing-masing. Aku menghidupkan kembali talipon bimbit untuk menghantar pesanan ringkas kepada Dr Harlina yang telah berada di New York untuk memaklumkan kelewatan ini.
Hari sebelumnya , sekitar jam 7 malam aku dihantar oleh suami dan anak-anak ke Lapangan terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu untuk memulakan perjalanan panjang ke New York; transit pertama di Kuala Lumpur. Anak kecil ku Solahuddeen 3 tahun dan Mujahid 5 tahun sibuk dan keletah bermain di ruang legar tempat menunggu. Mungkin dalam fikiran mereka tiada yang istimewa pemergian kali ini; umi hanya akan pergi sebentar ke Kuala Lumpur seperti yang dilakukan saban bulan. Tiba saat keberangkatan hati begitu sayu dan sebak mendakap satu persatu anak-anakku yang turut menghantar pada petang khamis itu . Kepada Aisyah, Fatimah ,Naim ,Maryam dan Firdaus ku titipkan pesan agar menjadi anak yang soleh, berakhlak mulia dan beramal untuk Islam selain membantu menjaga adik-adik yang kecil. Ketika bersalaman dengan suami yang begitu penyayang, memahami dan banyak berkorban , air mata mengalir deras sendiri tanpa boleh ditahan. Ku pohon ampun dan kemaafan serta restu untuk perjalanan yang jauh ini; semua demi dakwah, menegakkan kalimah Allah dan membawa suara wanita Islam ke peringkat antara bangsa di United Nations. Kata-kata peransang suami membuatkan aku cepat-cepat mengusapkan air mata dan terus menuju ke balai berlepas. Lega hati ini melihat anak-anak semua melambai-lambai. Sekurang-kurangnya kali ini Solahudden tidak lagi menangis dan merengek kesedihan ditinggalkan.

Aku di ambil oleh adikku (yg ke 6) Nazri di KLIA sebelum menginap semalaman di rumah kakaknya (adikku yang 4) Salamah di Shah Alam. Malam itu kuhabiskan dengan berinteraksi dengan mereka dan anak-anak saudaraku selain mengkemaskan beg yang akan ku gunakan ke New York keesokkan harinya. Tepat jam 4 pagi seolah-olah aku dikejutkan untuk menyiapkan diri untuk perjalanan yang panjang ini. Setelah melakukan solat sunat musafir , Nazri menhantarku dan kami sampai di KLIA jam 5.45 pagi . Kami sampai awal maka proses mendaftar masuk berjalan dengan lancar. Aku menunaikan solat subuh bersama para musafir lain di surau KLIA. Selepas solat aku sempat menalipon dan menghantar pesanan ringkas kepada keluarga dan sahabat handai untuk memohon didoakan oleh mereka.

Alhamdulillah akhirnya Kapten mengumumkan bahawa kami bersedia untuk berlepas dan tepat jam 10.49 pagi pesawat mula bergerak laju membelah awan ruang angkasa Sepang untuk perjalanan tanpa henti ke destinasi pertama Stockholm Sweden.

Ramainya Orang Sweden
Hampir separuh dari penumpang kapalterbang terdiri dari warga Sweden. Mereka semua baru menghabiskan percutian musim sejuk mereka ke negara bercuaca panas seperti Thailand dan Malaysia. Kebanyakan mereka bercuti ke Phuket ( Antara yang terkorban dalam tragedi Tsunami 26 Disember 2004 adalah warga Sweden) dan transit beberapa hari di Malaysia sebelum pulang semula ke Sweden. Ramai juga dari kalangan mereka yang sudah lebih separuh umur, ada yang bertongkat tetapi mempunyai semangat dan keinginan yang tinggi untuk melancong dan melihat negeri orang. Duduk bersebelahan dengan warga Swedish ini aku berusaha untuk menyampaikan mesej Islam semampu mungkin. Semoga Allah memberikan hidayah kepada mereka dan menjjadi orang yang berjalan di atas mukabumi dan melihat kesudahan orang-orang terdahulu yang engkar.
Bercakap tentang warga Swedish mereka adalah orang yang termaju di dunia. Sekadar melihat beberapa indeks;Kadar kematian ibu mengandung mereka adalah yang terendah di dunia, Kadar celik huruf juga amat tinggi dan mereka mempunyai paling ramai wakil wanita di Parlimen (40% - 2004). Semoga akhirnya hidayah Allah bersama mereka sekiranya mereka benar-benar terkumpul dalam golongan orang yang berfikir.....
Bersambung.................
Wassalam,
Dr Hafidzah

0 Comments:

Post a Comment

<< Home