Sunday, January 08, 2006

MOGA ADA SINAR DI MENDUNG TIMUR

minta izin ustaz saifulislam utk kongsikan catatan di bawah bersama yg lain melalui wadah ini, terlalu menyentuh hati, terlalu berharga untuk disimpan sendiri

menatap catatan perjalanan ini, mengingatkanku kepada Hetice Nesibe Ozturk, rakan seperjuangan yang telah pulang ke bumi Turki. apa khabar nesibe sekarang? uh..Zhannat Aldiyarova juga, telah berangkat ke Khazastan, menyambut eid di sana setelah berjaya menamatkan ijazah pertamanya di taman ilmu dan budi. apa khabar kalian semua? kata2 nesibe masih terngiang2.."I wish i know u much earlier..so dat we can share our xperience in jamaah with each other"..ya..me too..tak sangka sekali...dah grad baru tahu...alhamdulillah baru2 ini berkenalan dgn muna, tak mungkin aku lepaskan peluang kali ini, terus ku bertanya ttg penglibatannya dalam membantu ummah, cukup mengagumkan! she was born and raised in sri lanka, di sebuah bandar bernama Kandy, sedikit ke tengah Sri Lanka, justeru tsunami baru2 ini tidak melanda Kandy.

tapi, semangat kental dan jiwa besar muna sangat mengagumkan! Muna dan kawwan2nya mengumpul dana dari rumah ke rumah, dan pergi ke kedai ubat, meminta bantuan ubat2an. Dia sendiri pergi kepada mangsa2 tsunami di sri lanka yang kebanyakannya adalah Muslim yang tinggal di pinggir laut ddan bergantung kepada laut sebagai sumber pencarian..

Muna juga pernah tinggal di Kobe, Jepun selama 10 tahun. amazing! dari sri lanka tapi berupaya bertutur dalam bahasa jepun (uh..teringat pula saira dan saima arai--kembar jepun yg sangat tabah belajar arabic!)muna ada di Kobe sewaktu gempabumi melanda Kobe..diceritakan kepadaku dengan penuh semangat bagaimana gegaran tersebut menghancurkan bangunan2 dan menjadikan manusia sangat tak tentu arah...dan masjid tetap teguh terpelihara...

berkenalan dengan muna, nesibe, zhannat, saira dan saima...tentunya nikmat yang sangat berharga, semua berlainan bangsa dan negara, tapi kami percaya dengan wehdatul fikr dan wehdatul amal para muslimin atas persamaan iman kepada Allah..

semoga ada waktu ketemu mereka lagi, berkongsi cerita inspirasi buat meneruskan perjuangan...

selamat menghayati catatan di bawah...selamat berjuang saudara2ku bangsa Kurdi..semoga Allah sentiasa bersama kalian..


MOGA ADA SINAR DI MENDUNG TIMUR (catatan perjalanan di bumi Bani Osman 8 Januari 2006)

1996, lawatan saya ke Turki menjadi semakin kerap. Selalunya, saya akan bergilir, sama ada ke rumah Abdul Mutalip atau ke rumah Fatih di Gaye Vakfi, Yeni Sahra. Saya berazam pada tahun tersebut, saya mahu menghasilkan satu dokumentari tentang masalah yang dihadapi oleh orang-orang Kurdi di Turki. Duduk di dalam circle bersama kawan-kawan berbangsa Kurdi yang tinggal di Istanbul, telah membuka mata saya tentang betapa besarnya dugaan hidup mereka, namun terpinggir daripada mendapat liputan media.



Sering sahaja Abdul Mutalip membawa saya ke rumah kawan-kawannya yang berbangsa Kurdi. Majoriti mereka adalah pelajar di Fakulti Ilahiyat, Universiti Marmara Istanbul. Di dalam beberapa siri pertemuan saya dengan mereka, diskusi selepas solat Tarawih pada suatu malam itu, yang kekal dalam ingatan saya.



Salah seorang daripada mereka menelefon ibunya di kampung. Tentunya di timur Turki. Entahlah, saya sendiri kurang pasti sama ada di Bingöl atau pun di kawasan yang berhampiran dengannya.



“Selam aleyküm emak. Apa khabar?.... Oh begitu ke.... minggu ni siapa yang mati.... hmm, sabarlah mak ye... aleyküm selam!”



Terpegun saya mendengar perbualannya di telefon. Katanya, itu adalah perbualan biasa dia setiap kali menelefon emak di kampung. Katanya, minggu ni bapa saudaranya meninggal dunia. Semasa pulang dari masjid selepas bersolat Isyak, bapa saudaranya ditembak dan tubuhnya terjatuh ke dalam longkang. Entahlah siapa yang menembaknya, tetapi kami di kampung memang biasa mengesyaki ia perbuatan askar Turki.



Allah... begitu sekalikah kehidupan di sana? Mengapa nasib bangsa Kurdi begitu? Jumlah mereka cukup ramai, mereka bukan minoriti sebarangan di Turki. Saya juga sedar yang bangsa Kurdi ini menerima nasib yang sama, di semua negara mereka berada. Mereka minoriti di Iraq, Iran, Armenia dan Syria.



“Kerana itulah kita kena bebas dari Turki. Kita kena keluar dari negara ini!”, Bilal menyahut. Beliau begitu bersemangat. Tangannya menggenggam penumbuk dan berdiri sambil mengertap bibir.



Perbincangan yang hangat adalah perkara biasa. Mereka juga suka melibatkan saya supaya saya benar-benar faham apa masalah sebenarnya orang Kurdi di Turki.

“Kalau kamu nak keluar dari Turki, negara apa yang kamu nak bentuk? Apa asasnya?”, saya menyoal.



“Itu tidak penting. Yang utama sekarang ini ialah bangsa Kurdi mesti ada negara sendiri. Itu sahaja!”, kata Bilal.

“Kalau kamu bentuk negara Kurdi yang asasnya bukan asas Islam, kamu hanya mengundang masalah lain sahaja. Kamu dulu gemilang sebab adanya orang seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Bediuzzaman Said an-Nursi. Kalau kamu tak amalkan Islam dalam negara impian kamu, jika kamu menjadi majoriti, kamu akan tindas bangsa Turki sebagaimana bangsa Turki menindas kamu sekarang. Apa faedahnya?”. Saya memberanikan diri memberi komen.



Memang benar, bangsa Kurdi ni amat digeruni oleh orang barat. Bayang-bayang Salahuddin al-Ayyubi dan Bediuzzaman Said an-Nursi menghantui mereka semasa mereka bersidang di meja Saiks-Pico pada tahun 1919. Persidangan itu membincangkan agenda faraid penjajah terhadap tanah umat Islam yang diwarisi daripada kematian Khilafah Othmaniyyah yang menjelang, selepas kekalahan Perang Dunia Pertama. Di dalam persidangan tersebut, semua bangsa mendapat negara.

Lakaran peta di Timur Tengah dilukis mengikut kehendak barat. Namun, satu-satunya bangsa yang tidak mendapat negara bahkan peta dilukis bengkang bengkok kerana mereka, adalah bangsa Kurdi. Peta Turki, Syria, Armenia, Iran dan Iraq dilakar agar bangsa Kurdi menjadi kaum minoriti di semua negara. Ia adalah strategi jangka panjang ke arah melemahkan mereka.



Sebabnya mudah sahaja. Semasa Khilafah Othmaniyyah berada di ambang kejatuhan, bangsa-bangsanya telah memberontak. Bulgaria, Armenia, Arab, Slav dan sebagainya, semua bangkit menentang. Masing-masing mahu merdeka daripada ‘penjajahan Othmaniyyah’. Satu-satunya bangsa yang setia mempertahankan Othmaniyyah adalah bangsa Kurdi. Kerana itulah Ataturk telah membunuh ribuan pemimpin kaum Kurdi sebelum pengisytiharan pembubaran Khilafah Othmaniyyah dibuat.



Kuasa penjajah juga dibayangi oleh Salahuddin Al-Ayyubi dan Bediuzzaman Said an-Nursi. Pada mereka sifirnya mudah sahaja. Jika bangsa Kurdi diberikan hak bernegara sendiri, maka dengan segera mereka akan membangunkan kembali sebuah ‘Negara Islam’ yang baru sahaja selesai dipancung mati.



Itulah rasional saya ketika menyanggah pendapat Bilal.



“Aghh, kamu tahu apa? Kamu cuma mendengar, yang deritanya kami. Setiap kali pulang ke kampung, kami yang membasuh lantai rumah yang penuh darah kaum keluarga kami!”, kata Bilal.



Abdul Mutalip menepuk peha saya mengisyaratkan supaya saya tidak meneruskan kata-kata. Saya faham, dan saya merenung wajah Bilal yang sudah mula bergenang air mata. Kami berpelukan dan saling menepuk bahu. Sabarlah... dengan sabar yang indah. Itulah yang mampu saya ungkapkan.



Sukarnya untuk saya membuat kesimpulan. Akan tetapi, memori saya terhadap cerita rakan-rakan Kurdi ini timbul kerana saya teringatkan Hari Raya Aidiladha tahun itu. Kebanyakan rakan berbangsa Kurdi tidak pulang beraya di kampung. Walaupun harga tiket ke Diyarbakir pada masa itu hanya sekitar RM30, ia terlalu besar untuk kemiskinan dan penderitaan mereka.



Dan yang lebih penting, pulang ke kampung hanya mematahkan semangat mereka untuk belajar. Saya tidak terbayang untuk hidup di dalam suatu dunia yang soalan di telefonnya berbunyi, “siapakah yang mati minggu ini?”



Kuhulurkan doa moga kalian bersabar... moga ada sinar di mendung Timur...



Selamat Hari Raya Aidil Adha...



Allahu Akbar wa Lillah al-Hamd



ABU SAIF @ www.saifulislam.com

8 Dzulhijjah 1426H / 8 Januari 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home