Tuesday, December 27, 2005

"TAK TAHU NAK MAKAN APA"

oleh Maryam Jailani


“Tak tahu nak makan apa”. Seperti biasa didengari. Tapi di mana ya? Pertama, barangkali kata-kata ini kita dengar saat dihidangkan pelbagai jenis juadah, sama ada ketika hendak berbuka, ketika memilih makanan di restoran atau di majlis-majlis makan. Pendek kata, kepelbagaian nikmat makanan yang kita nikmati seringkali menjadikan kita sukar membuat pilihan.

Namun, jauh di sudut dunia yang lain, kata-kata yang sama turut dituturkan oleh saudara kita, bukan kerana limpahan makanan, tetapi kerana tiada makanan! Mereka tidak tahu hendak makan apa kerana tiada apa untuk dijadikan makanan! Ironi yang mengharukan, tetapi saya amat pasti ironi ini bukan sekadar untuk memilukan suasana, hakikatnya, ia mengajak kita menjadi insan berfikir dan bertindak. Barulah berbaloi kepiluan ini.



FAKTA MERUNSINGKAN

Program Makanan Sedunia mencatatkan 24,000 saudara kita mati kebuluran setiap hari! Lebih menyesakkan nafas, 78% daripada jumlah ini adalah golongan wanita dan kanak-kanak. Isu ini bukan perkara baru. Walau dunia diuji dengan tsunami, taufan dan gempa bumi baru-baru, isu kebuluran tidak lenyap begitu sahaja. Justeru, wajarkah kita menggunakan alasan bencana-bencana ini untuk melupakan isu kebuluran yang mengorbankan nyawa saudara-saudara kita setiap hari?

18% daripada 33.6 million populasi Sudan, 55% daripada 25.1 million populasi Iraq, 49% daripada 70.7 million populasi Utopia, 750,000 penduduk Somalia, 500,000 penduduk Timor Timur, 70% daripada 28 million populasi Afghanistan, 36.1% daripada 14.1 million populasi Kemboja, 30 million penduduk Bangladesh dan ratusan ribu rakyat Palestin hidup di bawah garisan kemiskinan.

Persoalannya, bagaimanakah hal ini boleh berlaku sedangkan terdapat cukup makanan bagi setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak di dunia ini? Lebih memilukan, isu kebuluran ini menghantui negara yang majoriti penduduknya Islam!

Di manakah kita jutaan saudara mereka yang belum diuji dengan kesengsaraan sebegitu rupa? Di manakah kita saudara mereka yang selalu mencanangkan gagasan persaudaraan Islam sedunia yang gemilang? Hakikatnya, kesenangan yang datang kepada kita jua adalah ujian—untuk menilai apakah kita benar-benar bersyukur dan di manakah janji kita saat mengaku beriman; janji sebuah persaudaraan yang diikat kukuh atas dasar kesatuan aqidah! Di manakah kita saat mereka mengharungi kehidupan sengsara penuh ketabahan tanpa sedikit pun putus asa untuk terus hidup? Di manakah kita di saat ini?


HADIAH ISTIMEWA AIDILADHA

Tidak tergambar betapa gembira dan bersemangatnya saya saat melihat beberapa badan bukan kerajaan di Malaysia seperti Muslim Aid, Al-Amin Serve, JIM International, MACMA, Hidayah Centre dan Yayasan Al-Jenderami yang berusaha sepenuh jiwa menyediakan pakej hadiah istimewa Aidiladha saban tahun. Pelbagai pakej disediakan demi memudahkan golongan yang berkemampuan untuk melakukan ibadah qurban dan menyedekahkannya kepada mereka yang amat memerlukan. Inilah hadiah Aidiladha yang sungguh bermakna tanda ingatan dan tiupan semangat agar mereka tabah meneruskan kehidupan. Program seumpama ini juga hakikatnya mampu mengajar kita menghayati ruh sebenar ibadah qurban. Kalaulah kita benar-benar ingin menghayatinya, apakah kita tidak rela menghadiahkan daging qurban kita kepada saudara kita yang ternyata lebih memerlukan?—yang hanya berpeluang mengecapi nikmat zat protein daging sekali setahun (itupun kalau ada yang sudi menderma), jauh sekali menikmati peluang untuk memilih seperti kita—ayam, lembu atau kambing—sup, rendang, kari dan sebagainya.


LAMBANG KEIMANAN DAN PERSAUDARAAN

Maka sesungguhnya sedarlah di saat ini, bahawa sumbangan yang kerdil daripada kita memberi implikasi positif yang besar kepada mereka! Jauh lebih bermakna daripada bantuan makanan yang diberikan, ia lambang keprihatinan dan ingatan yang sangat mendalam terhadap mereka nun jauh di sana! Salah seorang penerima daging qurban tahun lalu berkata, “Pemberian anda di hari raya ini membuktikan kehangatan persaudaraan Islam atas dasar iman kepada Allah. Pemberian anda adalah inspirasi penuh makna. Ia mengukuh pegangan kami terhadap iman dan Islam. Kami akan terus berjuang demi Islam biarpun diuji dengan kemiskinan. Ketahuilah…pemberian anda…akan diingati selalu..dan selamanya…”

Sementara masih ada masa, jadilah kita insan yang sensitif menyahut seruan Allah untuk memberikan makanan yang kita sukai kepada insan-insan yang lebih memerlukan. Betapa mulianya golongan ini sehingga Allah merakamkan kebaikan mereka di dalam Al-Quran! “Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. (Mereka berkata) Sesungguhnya kami memberikan makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak pula mengkehendaki balasan daripada kamu dan tidak pula ucapan terima kasih” (Al-Insaan: 8-9). “Maka Allah memelihara mereka dari kesusahan hari itu (hari akhirat) dan memberikan kepada mereka kejernihan wajah dan kegembiraan hati. Dan Dia memberi ganjaran kepada mereka kerana kesabaran mereka dengan syurga dan pakaian sutera (Al-Insaan: 11-12)”

Ya..sementara masih ada masa, jadilah kita insan yang bukan sekadar memikirkan tahu atau tidak apa yang hendak dimakan. Tetapi, didiklah diri kita menjadi insan yang sentiasa bersyukur dan tidak membazir rezeki yang dikurniakan. Sentiasalah bersedia untuk berkongsi nikmat tersebut dengan saudara-saudara kita yang lebih memerlukan. Bantulah insan lain untuk meneruskan kehidupan, dan hayatilah bagaimana ia menyentuh jiwa dan kehidupan anda. Bertindaklah sekarang! Tindakan bijak anda menyelamatkan nyawa!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home